Perancangan Kewangan Naqli dan Aqli Siri 2

PERANCANGAN KEWANGAN NAQLI DAN AQLI SIRI 2

Di dalam siri 1, saya ada mengatakan bahawa, kita perlu mempunyai minda jutawan untuk kita menjadi jutawan. Persoalan mengapa anda perlu kaya, tidak perlu dibincangkan dengan terperinci di sini. Memadai sahaja dengan sebab untuk kita mudah untuk mengerjakan ibadah dan juga mudah untuk kita membantu orang disekeliling kita seperti ibu-bapa, keluarga, saudara, jiran dan masyarakat secara amnya. Pada siri kali ini, saya ingin membicarakan tentang angan-angan atau terma yang di gunapakai di dalam konteks akademik dan industri perniagaan sebagai visi atau cita-cita anda. Apa cita-cita anda?

Pernahkah anda mendengar atau membaca buku tentang angan-angan Mat Jenin? Apa itu angan-angan Mat Jenin? Siapa Mat Jenin? Mat Jenin adalah suatu karekter seorang lelaki yang hanya berangan untuk menjadi kaya tanpa mahu berusaha.  Beliau sering dimarahi oleh isterinya kerana sikap malas Mat Jenin untuk bekerja. Adakah anda sama dengan Mat Jenin? Pernahkah anda berangan-angan?  Adakah dengan berangan kita tidak akan kemana seperti Mat Jenin? Saya sering berangan, adakah saya pun seperti Mat Jenin?

Angan-angan adalah suatu yang amat diperlukan jika anda mahukan mencapai sesuatu atau mendapatkan kekayaan. Walaubagaimanapun angan-angan sahaja tanpa usaha untuk mencapainya selalunya tidak akan membawa kita kemana. Mungkin kita tidak akan bertuah seperti orang lain yang mewarisi harta faraid daripada peninggalan pusaka keturunan yang melimpah ruah. Maka untuk berangan-angan sahaja, mungkin tidak dapat melonjak kita menjadi jutawan. Malah angan-angan tanpa sebarang usaha sebenarnya akan menjadikan kita orang yang malas yang hanya berharap sesuatu akan berlaku tanpa kita sendiri mahu melakukannya.

Saya ada seorang yang saya kenali tidak mahu berusaha atau bekerja bersungguh-sungguh dan hanya bergantung harap dengan duit ibu dan ayah, walaupun umur telah meningkat hampir ke 4-series. Beliau telah dibelikan kereta, motor, dan pelbagai kemewahan hingga beliau gagal untuk berdikari sehingga ke saat ini, masih bergantung harap dengan duit belanja dari ibu dan bapa.  Saya telah banyak kali menasihati beliau untuk keluar dari zon selesa dan di sebalik mengharapkan ehsan duit bulanan dari ibu dan ayah, beliau pula yang menyara kedua ibu dan ayahnya yang merupakan bekas penjawat awam sahaja. Malah ia menjadi kewajiban kepada kenalan saya untuk menyediakan keperluan ibu dan ayahnya menurut kemampuannya.  Jadi angan-angan sahaja tanpa usaha tidak akan membantu kita, malah akan merosakkan masa hadapan kita tidak seperti yang kita angan-angankan.

 

Walaubagaimanapun angan-angan perlu ada bagi setiap jutawan kerana dengan angan-anganlah kita boleh maju kehadapan. Kita semua mempunyai keperluan dan kehendak yang perlu kita penuhi dan semua itu datangnya dari angan-angan atau nafsu. Jika kita tidak mempunyai angan-angan maka kita akan berasa selesa dan tidak akan mengubah hidup kita kepada yang lebih baik. Secara amnya kita mempunyai nafsu kepada wanita atau lelaki, anak-anak, harta yang melimpah ruah daripada wang, kenderaan yang selesa dan berjenama, binatang ternakan dan juga tanam-tanaman (Rujuk Surah Al Imran ayat 14).

 

Kesemua itu menjadi perhiasan bagi kita dan kita perlu memenuhi tuntutan nafsu itu tetapi mestilah dibatasi oleh tuntuan shariah agar kita berjaya di dunia dan akhirat. Jika kita tidak mempunyai angan-angan atau nafsu, maka ianya adalah perumpamaan malaikat yang hanya melakukan perkara yang ditugaskan kepada mereka. Jika mereka diperintah oleh Allah swt untuk bertasbih, maka mereka akan bertasbih sahaja. Justeru itu mereka tidak mempunyai nafsu untuk makan, minum, melakukan seks dan lain lain melainkan bertasbih, sujud atau menjalankan perintah Allah sahaja. Kita sebaliknya mempunyai nafsu yang membolehkan kita untuk berkembang di dalam tamadun, ekonomi dan sebagainya.

 

Sebaliknya jika kita hanya menurut tuntunan nafsu, maka kita tidak ubah seperti binatang sahaja yang tidak mempunyai nilai keagamaan, etika dan moral.Apa akan berlaku jika kita hanya menurut nafsu tanpa batasan? Apa akan terjadi kepada dunia ini jika semua kita hanya bertuhankan nafsu?  Apa yang kita akan buat jika kita menurut nafsu sahaja?Adakah itu yang kita mahukan?  Adakah itu yang kita mahu saksikan berlaku dalam masyarakat kita? 

 

Apa yang saya hendak tekankan disini ialah, kita perlu kepada angan-angan, kita perlu kepada nafsu, kita perlu kepada usaha untuk mencapainya tetapi kita perlu juga batasan di dalam kita mengejar angan-angan kita.  Ini adalah berkaitan dengan pandangan kita tentang realiti kehidupan kita.  Adakah kita hanya hidup di dunia ini sahaja?  Adakah kita percaya bahawa kehidupan di dunia ini hanya suatu persinggahan ke alam yang kekal abadi?  Adakah apabila kita mengaitkan persoalan kehidupan selepas kematian akan mengubah pandangan kita terhadap bagaimana kita melihat realiti kehidupan kita? Justeru itu, adalah amat penting di dalam mengejar kekayaan di dunia ini kita perlu memahami tujuan kita di ciptakan di dunia ini dahulu. Kita perlu memahami konsep pemilikan harta di dalam Islam.  Siapakah pemilik harta yang kita pegang ketika ini?  Adakah harta itu milik anda sepenuhnya. Siapa pemilik mutlak harta tersebut? 

 

Di dalam konteks kita pada masa kini, kita perlu bebas kewangan dan perlu menguasai ekonomi untuk berkembang. Petua utama untuk menjadi bebas kewangan dan kaya adalah dengan membuat simpanan dahulu. Ini adalah asas kepada perkembangan kewangan kita. Malah ianya juga telah di praktikkan oleh Nabi Yusof semasa menafsir mimpi Raja Mesir pada ketika itu. Malah peristiwa ini di semadikan di dalam kitab suci Al Quran dalm Surah Yusof ayat 46 hingga 49. Di dalam peristiwa ini, Nabi Yusof ditanya tentang mimpi dimana 7 sapi kurus memakan 7 sapi yang gemuk. Disini Nabi Yusof telah menafsir mimpi tersebut dengan mengatakan akan datang 7 tahun yang subur dimana hasil tanaman dan tuaian adalah amat banyak. 

 

Beliau memerintahkan agar hasil tuaian sedikit sahaja dimakan dan selebihnya di simpan. Selepas itu akan datang 7 tahun kemarau yang panjang dimana akan menyebabkan banyak tanaman tidak menjadi. Walaubagaimanapun, negeri Mesir dapat melalui kemarau panjang itu kerana simpanan yang telah dibuat dahulu.  Malah negeri Mesir menjadi tumpuan bagi negeri-negeri di sekitarnya untuk mendapatkan bekalan makanan. Di sini dapatlah kita pelajari bahawa menyimpan itu adalah suatu tindakan yang perlu untuk menghadapi masa-masa susah akan datang dan telah di praktikkan oleh Nabi Yusof yang telah dilantik sebagai Menteri Kewangan Mesir oleh Raja Mesir pada ketika itu. .

 

BERSAMBUNG SIRI 3

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI

Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai 71800

Negeri Sembilan.

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6442 / 6307  Faks: +606-798 6441