PERANCANGAN KEWANGAN NAQLI DAN AQLI SIRI 7

Di dalam siri 6, saya ada mengupas tentang samada pendapatan yang tinggi akan menjamin kita untuk bebas dari kemelut kewangan. Saya ada memberikan 2 contoh senario pendapatan dan perbelanjaan bagi 2 orang pekerja iaitu si A dan B dan kita dapati walaupun A mempunyai pendapatan bulanan RM10,000 sebulan dan B hanya RM4,000 sebulan, si B lebih pandai mengurus kewangannya. Malahan si B dapat menyimpan sebanyak RM400 sebulan iaitu 10% dari pendapatannya.

Justeru itu, kita bersetuju, bahawa pendapatan yang tinggi tanpa pengurusan kewangan yang baik tidak menjamin kita bebas kewangan dan yang penting ialah berapa yang kita dapat simpan dari pendapatan kita tersebut. Persoalannya bagaimana kita boleh secara konsisten membuat tabungan tersebut. Bak kata pepatah "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit".

Saya ingin memberikan sedikit teori tentang pengurusan harta agar kita memahami gambaran secara keseluruhan tentang isu perancangan kewangan. Pada asasnya ada 5 dimensi di dalam pengurusan harta iaitu penciptaan kekayaan (wealth creation), pengumpulan harta (wealth accumulation), perlindungan harta (wealth protection), pengagihan harta (wealth distribution) dan penyucian harta (wealth purification). Ya, kita perlu memahami semua itu dan saya akan kupas di dalam siri-siri yang seterusnya.

Secara mudahnya, 1) bagaimana kita nak jana pendapatan melalui pekerjaan atau perniagaan, 2) menabung dan melabur, 3) perlindungan guna takaful atau insurans, 4) agih harta melalui zakat, sedekah, hibah, wasiat, dan faraid dan menyucikan harta-harta yang mungkin terlibat dengan elemen yang tidak patuh syariah seperti riba. Semua ini perlu dirancang oleh setiap individu baik yang muda atau yang tua. Jika kita rasa kita masih muda dan banyak masa lagi, sekaranglah sepatutnya kerana banyak yang boleh kita capai jika kita bermula awal. Jika kita kata sudah terlambat kerana kita mahu pencen, sekaranglah juga masanya, kerana kita perlu menghadapi kemungkinan 20 tahun lagi selepas kita bersara kelak.

Ramai yang mengetahui kewujudan masalah ini tetapi hampir majoriti hampir tidak boleh mengatasi masalah ini. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kita tidak mengurus kewangan kita. Pertama, walaupun kita mempunyai niat untuk menjadi bebas kewangan tetapi kita seringkali mendengar daripada persekitaran kita bahawa kita tidak akan dapat mampu mengurus kewangan kita disebabkan pelbagai seperti gaji anda terlalu kecil, harga barangan terlalu tinggi, kos rumah terlalu tinggi dan sebagainya. Ini membuatkan kita samada terus tidak mahu menjadi bebas kewangan dan mengikut arus atau setengahnya berjaya keluar dari kemelut kewangan berterusan dengan mengambil langkah positif mengubah minda kita.
Kedua, pengurusan kewangan bermusim. Ada yang hanya mengurus kewangan dengan secara tidak konsisten di mana mungkin pada awal tahunnya mempunyai iltizam yang kuat untuk mengurus kewangan dengan perancangan tahunan dan bulanan. Apabila tiba pada bulan pertama atau kedua apabila apa yang dirancang tidak dapat di tepati, kita mula berasa putus asa dan mula tidak mengendahkan perancangan kewangan kita. Tinggallah iltizam itu hanya iltizam sehingga kita mula beriltizam pada awal tahun berikutnya.
Ketiga, kita sebagai perancang kewangan sekali seumur hidup. Ini adalah golongan yang hanya sekali sahaja membuat perancangan kewangan di dalam hidupnya. Ini adalah kerana apabila beliau membuat perancangan kewangan untuk seumur hidup yang mana ianya tidak praktikal kerana kita sentiasa perlu mengadaptasi kepada perubahan semasa. Pendapatan kita pada 10 tahun lepas mungkin berbeza dengan pendapatan semasa. Lazimnya pendapatan kita meningkat dari masa ke semasa tetapi ada juga keadaan pendapatan seseorang itu menurun atau tidak berpendapatan langsung.

Keempat, golongan ini mempunyai masalah teknikal kerana tidak memahami atau mengetahui teknik bagaimana untuk mengendali kewangan sendiri dan keluarga. Masalah ini boleh di pelajari dengan menghadiri kursus-kursus pengurusan kewangan atau dipelajari dari membaca pelbagai buku tentang kewangan dan sebagainya. Walaubagaimanapun, kebanyakan yang melalui proses ini hanya bertahan semasa motivasi mereka adalah tinggi semasa dan selepas mendapat stimulus. Bagaimanapun, semangat itu semakin hari semakin hilang dan akhirnya kita berbalik ke peringkat asal sehinggalah kita mendapat stimulus yang berikutnya.

Masalah-masalah yang saya utarakan di atas dapat diselesaikan. Apa yang perlu di buat ialah kita dapat memahami minda separa sedar dan minda sedar kita. Minda sedar dan separuh sedar ini banyak mempengaruhi bagaimana kita dapat meneruskan perancangan kewangan kita. Sebagai contohnya kita seringkali mengalami masalah untuk menabung secara konsisten pada setiap bulan. Bagaimana minda sedar dan separa sedar mempengaruhi tabiat kita untuk menabung?

Saya ingin membuat analogi mudah tentang minda separa sedar dan minda sedar. Saya yakin kebanyakan dari pembaca tahu untuk menunggang basikal. Cuba ingati kembali pada waktu pertama kali kita menunggang basikal. Minda kita akan berada dalam keadaan minda sedar. Kita akan cuba memerhatikan jalan, memikirkan untuk mengimbangi basikal agar tidak terjatuh, memastikan pedal basikal sentiasa berputar dengan kelajuan yang sesuai dan sebagainya.

Itu adalah keadaannya bagi kebanyakan orang yang mula-mula mempelajari menaiki basikal. Cuba tanya kembali mereka setelah mereka biasa menunggang basikal adakah mereka perlu menggunakan minda mereka seperti mereka mula-mula menaiki basikal dahulu? Sudah tentu kebanyakan dari kita mengatakan, tak perlu fikir terus naik sahaja dan kayuh. Mengapa in terjadi? Apa yang menyebabkan minda kita tidak perlu berada di dalam sedar untuk melakukannya? Malah kita melakukannya di dalam minda separuh sedar. Ini termasuklah semasa kita memandu kereta, makan dan lain-lain. Kita tidak perlu memaksa minda kita untuk berfikir. Cuma janganlah kita sampai tidak sedar di mana keadaan ini adalah semasa kita tidak dapat membuat perhitungan langsung seperti orang yang dalam keadaan mabuk.

Berbalik kepada perancangan kewangan, kita perlu menjadikan subjek ini menjadi perkara separa sedar yang mana kita jadikan ianya sebagai tabiat. Ini akan memudahkan proses seperti menabung akan menjadi suatu proses yang mudah tanpa kita perlu memikirkannya. Ini akan memudahkan kita untuk menabung secara konsisten dengan mudah. Ada yang mengatakan kita perlu melakukannya sekerap mungkin untuk menjadikannya tabiat. Ada yang mengatakan 21 kali berterusan ada yang mengatakan 30 kali. Apa-apa pun ianya perlu dilakukan berterusan agar ianya menjadi suatu tabiat.

Pada siri akan datang saya akan mengupas tentang apa itu belanjawan peribadi dan yang perlu kita lakukan untuk membantu kita untuk mencapai cita-cita kita dalam kehidupan kita kerana berbalik kepada surah AL Imran ayat 14, sememangnya kita manusia diciptakan oleh Allah SWT mempunyai nafsu kepada apa yang kita sukai.
BERSAMBUNG SIRI 8

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI
Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)
Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai 71800
Negeri Sembilan.
Whassap: 011-14785422
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6442 / 6307  Faks: +606-798 6441