Perancangan Kewangan Naqli & Aqli Siri 6

Di dalam siri 5, saya ada menceritakan tentang perbahasan rakan-rakan saya di dalam kumpulan Whatsapp alumni sekolah saya tentang samada kita perlu menyediakan harta untuk anak-anak. Saya ingin mengulas bahawa kita adalah digalakkan untuk menyediakan harta untuk ahli keluarga kita untuk mereka dapat meneruskan hidup tanpa meminta-minta setelah kita pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.

 

Perancangan tentang ini boleh di buat semasa hidup berdasarkan kemampuan kita dan adalah amat penting untuk kita memastikan anak-anak kita mendapat pengetahuan tentang ilmu dunia dan akhirat di samping kita juga menyediakan mereka dengan sedikit harta menurut kemampuan kita. Di dalam siri yang lepas juga saya akhiri dengan persoalan tentang adakah dengan mempunyai pendapatan yang tinggi akan menjamin kita bebas dari kemelut kewangan.

Berbalik kepada isu utama kita iaitu menabung yang pernah saya utarakan di dalam siri-siri yang lepas, ramai yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju. Di kalangan yang tidak bersetuju menempelak isu keperluan menabung kerana tiada apa yang boleh simpan kerana kos perbelanjaan tidak cukup dengan gaji yang diterima. Katanya, “apa yang nak ditabung lagi kalau gaji pun dah tidak cukup”.

Sudah menjadi lumrah bagi saya untuk menerima pelbagai kritikan kerana tidak semua pendapat yang diutarakan oleh saya boleh diterima oleh semua orang. Persoalannya adakah dengan mempunyai pendapatan yang tinggi, sudah semestinya kita mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik? Adakah dengan mempunyai pendapatan yang tinggi kita sudah tentu dapat menabung?

Kalau sudah berpendapatan tinggi tetapi masih tidak menabung? Apa masalah yang akan timbul jika kita belanjakan semua yang kita dapat? Jika kita berbelanja sebegini maka kita akan menjadi kebanyakan orang yang akan sentiasa berada di dalam jerat beban kewangan yang tidak putus-putus menghambat diri kita sejak muda sehinggalah kita tua. Untuk menjelaskan dengan secara yang mudah, mari kita kaji kes ini.

A mempunyai pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan dan B mempunyai pendapatan RM4,000 sebulan. Masing-masing sudah berkeluarga dan dikurniakan dua orang anak. A menjawat jawatan yang tinggi di sebuah syarikat korporat sementara itu B adalah seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta. Jika anda diberi pilihan, siapakah yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik? A atau B?

Adakah A yang berpendapatan tinggi sudah semesti mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik atau B yang berpendapatan yang lebih rendah adalah lebih baik. Jawapannya bergantung kepada bagaimana mereka mengurus kewangan mereka. Tidak semestinya jika kita mempunyai pendapatan yang tinggi akan mempunyai kedudukan yang lebih baik dari rakan kita yang bergaji lebih rendahJ

Jika A berbelanja seperti tiada hari esok dan tidak menyimpan sesen pun dari pendapatannya kerana komitmen-komitmen bulanannya tinggi berbanding kemampuannya. Sebagai contohnya, ansuran kereta mewahnya memerlukan sejumlah RM3,000 sebulan termasuk kos penyelenggaraannya dan minyak. Ansuran bulanan untuk rumah yang mempunyai 4 bilik yang dibelinya pada harga RM sejuta ringgit memaksa beliau mengeluarkan ansuran sebanyak RM4,750 sebulan. Itu belum masuk lagi kos perbelanjaan dapur dan persekolahan anak-anak. Akhirnya, setiap bulan kos perbelanjaan A melebihi pendapatannya yang berjumlah RM10,000 itu.

Manakala B pula amat berhemat di dalam perbelanjaannya. Beliau masih juga membeli sebuah kereta dan membeli sebuah rumah untuk keluarganya berteduh. Namun ansuran keretanya tidak terlalu tinggi kerana beliau membeli sebuah kereta yang mampu milik berdasarkan pendapatan dan keperluannya. Ansuran keretanya hanyalah RM450 sebulan iaitu dalam anggaran lebih kurang 10 peratus dari pendapatan kasarnya.

Manakala ansuran rumah apartmen 2 biliknya hanyalah RM800 sebulan. Ini adalah kerana menurutnya, apartmen 2 bilik sudah memadai baginya sekeluarga untuk berteduh. Anak-anaknya berkongsi bilik dan beliau dan isteri berkongsi satu bilik. Beliau bertekad untuk menyimpan sepuluh peratus dari pendapatannya iaitu sebanyak RM400 setiap bulan. Selebihnya digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan perbelanjaan dirinya sendiri.

Dari pandangan mata kasar, sudah tentu si A lebih bergaya dengan rumah besar, kereta besar dan kelihatan amat mewah. Tapi jika diteliti, walaupun A mempunyai pendapatan yang dua kali lebih besar dari B, namun A hanya dikelilingi hutang keliling pinggang dan tidak mempunyai sedikit tabungan malahan untuk kegunaan pada waktu kecemasan. Ternyata gaya, mutu dan keunggulan hanya menenggelam A di dalam kemewahan yang menjeratnya jika beliau tidak mengubah tabiatnya.

Jika ianya berterusan selama setahun maka A tidak menabung 1 sen pun tetapi B telah menabung sebanyak RM4800 setahun. Justeru itu, jumlah pendapatan yang besar tidak penting tetapi jumlah tabungan yang dapat anda simpan dari pendapatan anda adalah lebih penting. Bagaimana kita boleh melakukan tabungan. Ianya adalah suatu kelakuan atau tabiat yang perlu dibentuk.

Semasa saya berkunjung di Johor Bahru tempohari, saya ada berbual dengan seorang lelaki India yang minum semeja dengan saya di sebuah restoran 24 jam berhampiran Hospital Sultan Ismail tentang kos hidup di bandar. Beliau telah melepasi separuh abad dan bekerja sebagai pekerja kilang aluminium setelah estet yang beliau bekerja telah dijual. Beliau bercerita tentang bagaimana kawasan tempat kami sedang minum itu adalah bekas kawasan estet getah. Kami berbual di samping itu saya bertanya tentang bagaimana beliau menghadapi kos kehidupan menampung sebuah keluarga dan berjaya membeli sebuah rumah hasil dari titik peluhnya.

Sejujurnya saya kagum dengan kegigihannya dan kebijaksanaannya mengurus kewangan keluarga. Beliau akan sentiasa cuba untuk menabung di dalam RM100 setiap bulan walaupun kos perbelanjaan keluarga agak mahal. Persoalannya adakah generasi sekarang dapat meneruskan kehidupan seperti pakcik ini yang bermula dari pekerja estet dengan pendapatan yang amat rendah tetapi bahagia dan berjaya menyara kehidupan keluarga menurut acuannya tersendiri. Bagaimana beliau belajar tentang pengurusan kewangan sedangkan beliau tidak pernah belajar tentang subjek ini secara formal di mana-mana. Bagaimana beliau boleh menabung secara konsisten sedangkan pendapatannya adalah tidaklah tinggi.

Seorang penasihat kewangan dan penulis buku yang berpengalaman dari Kanada, Bach telah menetapkan 10% simpanan untuk menjadikan seseorang itu menjadi jutawan automatik. Pada siri yang ke 7 akan datang saya akan memberikan kaedah untuk kita berjaya membuat simpanan yang konsisten setiap bulan .

BERSAMBUNG SIRI 7

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI

Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai 71800

Negeri Sembilan.

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6442 / 6307  Faks: +606-798 6441