PERANCANGAN KEWANGAN NAQLI DAN AQLI SIRI 11

Di dalam siri yang lepas, saya telah memberikan contoh belanjawan yang biasa kita gunakan. Pada siri ini, saya ingin mencadangkan suatu belanjawan yang lebih baik untuk kita mengurus kewangan kita. Belanjawan yang dicadangkan adalah berbeza di mana kita akan menolak simpanan dahulu dan selepas itu kita akan menolak perbelanjaan.  Formulanya ialah pendapatan tolak simpanan tolak perbelanjaan. Jika masih ada lebihan selepas perbelanjaan kita boleh tambah simpanan dan jika terdapat kurangan kita perlu mengurangkan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan simpanan kita.

 

Rasionalisasi kenapa kita perlu menggunakan kaedah yang dicadangkan untuk memastikan kita mempunyai simpanan yang konsisten. Ini adalah kerana jika kita bergantung untuk membuat simpanan setelah kita berbelanja, ada kalanya kita dapat membuat simpanan seperti yang kita rancangkan.  Selalunya kita mungkin akan menyimpan kurang dari apa yang kita inginkan kerana perbelanjaan kita agak tinggi dan seringkali juga kita tidak menyimpan apa-apa kerana kita berbelanja lebih dari pendapatan kita. 

 

Adakah perkara ini sering berlaku pada setiap bulan? Cuba kita semak berapa kali kita dapat menyimpan seperti yang kita rancang atau kita menyimpan lebih dari apa yang kita rancang. Adakah perkara yang sebaliknya berlaku? Ini berlaku kepada saya semasa saya cuba memulakan tabiat menyimpan semasa memulakan karier pekerjaan. Selalunya saya akan mengalami masalah tidak mempunyai simpanan pada setiap bulan. Ini adalah kerana gaji yang saya perolehi selalunya tidak menampung perbelanjaan saya. Akhirnya, saya tidak dapat menyimpan kerana tiada apa yang boleh disimpan lagi.

 

Masalahnya ialah pada waktu tersebut, saya ingin melamar isteri saya perlu menyediakan simpanan untuk saya menampung kos hari perkahwinan saya termasuk wang hantaran dan sebagainya. Pada tahun akhir 1997 saya memulakan pekerjaan saya sebagai seorang banker dan kegawatan ekonomi pada tahun 1998 menyaksikan harga barangan semua meningkat dan perbelanjaan saya pada waktu tersebut meningkat. 

 

Saya menemui jalan buntu pada setiap bulan kerana gagal untuk menyimpan, tetapi saya menukar strategi saya dengan mengasingkan sejumlah wang dan memberikan kepada ibu saya untuk menyimpan.  Saya masih ingat yang pendapatan saya pada waktu tersebut adalah di dalam lingkungan RM1,800 sebulan sebelum cukai. Saya memberikan kepada ibu saya RM500 sebulan untuk beliau simpan. Saya hanya belanja apa yang tinggal setelah ditolak simpanan tersebut. Dengan menggunakan strategi tersebut saya dapat menyimpan secara konsisten untuk menampung perbelanjaan perkahwinan saya.

Walaupun simpanan saya tersebut tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos perkahwinan kerana saya masih perlu mendapatkan pembiayaan pinjamaan dari bank tempat saya bekerja, tetapi strategi saya menolak simpanan berjaya mendisiplinkan diri saya untuk menyimpan. Di sini cara untuk anda menyimpan setiap bulan tidak semestinya anda perlu berikan kepada ibu anda untuk tolong simpan.

 

Ada pelbagai kaedah yang boleh kita gunakan seperti membuat potongan gaji, membuat arahan tetap bank dan sebagainya. Dengan cara ini kita cuma boleh berbelanja baki setelah kita membuat simpanan. Cuba tanya dengan majikan anda samada mereka boleh membuat potongan gaji kedalam akaun tabung haji.  Jika mereka boleh membuat potongan gaji anda terus ke tabung haji, maka kita boleh pergi ke cawangan tabung haji yang terdekat dan mengisi borang potongan gaji dan serahkan kepada pegawai yang bertugas. Sebelum itu, sudah tentu kita perlu mempunyai akaun tabung haji.  Jika masih belum ada, saya sarankan untuk buka akaun tabung haji. Sekurang-kurangnyamemudahkan kita untuk kita menunaikan ibadah haji pada masa akan datang.   

 

Salinan borang potongan gaji itu kita perlu serahkan kepada majikan kita untuk pengurusan pemotongan dan pemindahan gaji anda ke akaun tabung haji. Pada setiap bulan, gaji akan ditolak simpanan yang anda telah buat melalui potongan tersebut.  Disini kita telah selamat untuk menyimpan dan jangan usik simpanan yang kita buat itu sehingga kita dapat mencapai matlamat simpanan itu dibuat.

 

Jika majikan kita tidak mempunyai perkhidmatan potongan gaji ke akaun tabung haji, kita boleh pergi ke bank untuk membuat arahan tetap pada setiap bulan apabila gaji kita dikreditkan ke dalam akaun kita.  Arahan tetap ini akan dikenakan caj dari RM3 bergantung kepada bank.  Walaupun anda di kenakan caj anda tidak perlu membuat simpanan sendiri kerana ianya akan ditolak siap-siap oleh bank atas arahan yang telah dibuat. 

 

Disini kita tidak perlu berlawan dengan diri sendiri untuk melakukan simpanan. Maka belanjawan yang saya cadangkan berdasarkan kaedah simpan dahulu ini akan memaksa kita untuk berbelanja berdasarkan pendapatan setelah ditolak simpanan.  Contoh belanjawan adalah seperti berikut:

 

BELANJAWAN BULANAN DAN TAHUN 2017

ALIRAN MASUK

NOTA

BULANAN

TAHUNAN

Gaji

 

3,800.00

45,600.00

Bonus

 

 

3,500.00

Tolak Simpanan

0.10

380.00

4,560.00

Tolak EPF

11% oleh pekerja

418.00

5,016.00

Tolak Cukai

 

 

0.00

Tolak Zakat

 

50.00

600.00

 

 

 

 

JUMLAH ALIRAN MASUK

 

3,332.00

38,924.00

 

ALIRAN KELUAR

NOTA

BULANAN

TAHUNAN

Belanja dapur

Perbelanjaan Rumah

400.00

4,800.00

Utilitii

Perbelanjaan Rumah

150.00

1,800.00

Telefon

Perbelanjaan Rumah

20.00

240.00

Internet

Perbelanjaan Rumah

40.00

480.00

Makan luar

Perbelanjaan Rumah

50.00

600.00

Pakaian

Perbelanjaan Rumah

 

500.00

Books

Perbelanjaan Rumah

 

1,000.00

Personal Suami

Perbelanjaan Rumah

200.00

2,400.00

Personal – Isteri

Perbelanjaan Rumah

200.00

2,400.00

Ibu-bapa

Perbelanjaan Rumah

200.00

2,400.00

Percutian

Perbelanjaan Rumah

 

500.00

Lain-lain

Perbelanjaan Rumah

50.00

600.00

Takaful – Suami

Perbelanjaan Rumah

50.00

600.00

Takaful – Isteri

Perbelanjaan Rumah

50.00

600.00

Insuran Kereta & Cukai Jalan

Perbelanjaan Rumah

 

400.00

Penyelengaraan Kereta

Perbelanjaan Rumah

 

1,000.00

Petrol

Perbelanjaan Rumah

150.00

1,800.00

Ansuran Rumah

Pembayaran Ansuran

1,000.00

12,000.00

Ansuran Kereta

Pembayaran Ansuran

400.00

4,800.00

 

 

 

 

JUMLAH ALIRAN KELUAR

 

2,960.00

38,920.00

 

 

 

 

ALIRAN TUNAI BERSIH

Masuk tolak keluar

 

4.00

 

LEBIHAN BULANAN

0.33

Jika kita bandingkan dengan belanjawan yang telah saya kongsi pada siri yang lepas, kita hanya mempunyai lebihan sebanyak RM58.67. Belanjawan kali ini saya telah membuat tolakan untuk simpanan sebanyak 10% dari gaji kasar sebulan iaitu RM380 sebulan. Jumlah simpanan akan menjadi RM4,560 setahun. 

 

Perlu jika diambil maklum apabila saya mebuat tolakan simpanan dulu, kita perlu mengurangkan perbelanjaan untuk memastikan pendapatan dapat menampung perbelanjaan.  Disini saya telah mengurangkan perbelanjaan yang saya kira boleh dikurangkan.  Kita perlu kreatif di dalam hal ini.  Kita boleh mengurangkan kekerapan makan di luar.  Kita juga boleh mengurangkan perbelanjaan diri kita seharian dengan membawa bekal, malah kita boleh berjimat kos utiliti dengan memastikan lampu atau peralatan elektrik di tutup untuk mengelakkan pembaziran.

 

Manfaat yang kita perolehi dari belanjawan sebegini ialah kita secara automatik akan menjadi seorang penyimpan yang konsisten. Ikuti siri seterusnya untuk mengetahui dan mempelajari tentang kewangan peribadi kita.

 

BERSAMBUNG SIRI 12

 

 

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat

Felo Penyelidik, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai 71800

Negeri Sembilan.

Whassap: 011-14785422

PERANCANGAN KEWANGAN NAQLI DAN AQLI SIRI 10

Di dalam siri 9, saya telah mengupas tentang seorang pengembaraan muda dari Argentina yang merancang pengembaraan ke beberapa negara selama 4 tahun dengan menggunakan hasil wang simpanan beliau semasa bekerja. Persoalannya bagaimana kita perlu membina suatu belanjawan yang baik untuk kita mencapai cita-cita kita dan menjamin kehidupan kita pada masa akan datang.

 

Saya ada menelaah sebuah kitab bertajuk “Mendisiplin Jiwa” karangan Ibnu al-Jauzi (597 H) seorang ulama tersohor dari negeri Baghdad yang mengarang pelbagai kitab yang menjadi rujukan umat Islam. Di dalam kitabnya, beliau ada memberikan penerangan tentang bagaimana seseorang Muslim yang bijak harus mengurus pendapatan dan perbelanjaannya. Secara khususnya, pendapatan kita perlu melebihi dari apa yang kita perlukan iaitu kita perlu mempunyai lebihan untuk kita jadikan simpanan sebagai persiapan kepada hari-hari mendatang yang mungkin tidak selalunya cerah. Beliau menasihati orang Islam untuk menyediakan simpanan  untuk persediaan jika kita tidak boleh bekerja dan beroleh pendapatan jika di timpa sebarang masalah dan simpanannya boleh menampung kehidupan hariannya.

 

Ini termasuk jika, isterinya dikurniakan seorang cahaya mata, jika anaknya memerlukan perbelanjaan malahan jika seseorang itu ingin mengahwini seorang isteri, pendapatannya perlu dapat menampung segala keperluannya. Secara amnya, Ibnu al-Jauzi mengatakan bahawa pendapatan kita perlu melebihi perbelanjaan supaya seseorang itu boleh menyisih lebihan itu untuk menampung sebarang kekurangan semasa keadaan ekonomi yang tidak begitu baik.

 

Contoh suatu belanjawan yang boleh kita lakukan ialah dengan menyediakan penyata aliran tunai yang mengandungi kesemua aliran masuk dan keluar. Contoh item di dalam aliran masuk ialah gaji bulanan, pendapatan lebih masa, pendapatan dari perniagaan, pendapatan dari rumah sewa, pendapatan dari pelaburan dan lain-lain aliran masuk yang kita terima.

 

Sementara itu aliran keluar ialah semua perbelanjaan sendiri, perbelanjaan keluarga seperti makanan, pakaian dan pendidikan anak, pembayaran untuk takaful, pembayaran ansuran atau sewa rumah, bil utiliti, pembayaran ansuran kereta dan penyelenggaraan dan lain-lain aliran keluar.

 

Setelah kita menyenaraikan kesemua aliran masuk dan keluar, kita boleh mendapati samada kita mempunyai lebihan atau kurangan untuk kita membuat simpanan.  Ini adalah cara belanjawan yang biasa kita lihat. Contoh belanjawan adalah seperti berikut:

BELANJAWAN BULANAN DAN TAHUN 2017

ALIRAN MASUK

NOTA

BULANAN

TAHUNAN

Gaji

Pendapatan aktif 

3,800.00

45,600.00

Bonus

 Pendapatan aktif

 

3500.00

Tolak EPF

11% oleh pekerja

418.00

5016.00

Tolak Cukai

 

 

0

Tolak Zakat

Sedekah wajib

50.00

600.00

 

 

 

 

JUMLAH ALIRAN MASUK

 

3,332.00

43,484.00

 

ALIRAN KELUAR

NOTA

BULANAN

TAHUNAN

Belanja dapur

Perbelanjaan Rumah

400.00

4,800.00

Utiliti

Perbelanjaan Rumah

200.00

2,400.00

Telefon

Perbelanjaan Rumah

20.00

240.00

Internet

Perbelanjaan Rumah

40.00

480.00

Makan luar

Perbelanjaan Rumah

100.00

1,200.00

Pakaian

Perbelanjaan Rumah

 

1,000.00

Buku

Perbelanjaan Rumah

 

1,000.00

Personal Suami

Perbelanjaan Rumah

250.00

3000.00

Personal – Isteri

Perbelanjaan Rumah

250.00

3000.00

Ibu-bapa

Perbelanjaan Rumah

 200.00

2,400.00

Percutian

Perbelanjaan Rumah

 

500.00

Lain-lain

Perbelanjaan Rumah

100.00

1200.00

Takaful – Suami

Perbelanjaan Rumah

50.00

600.00

Takaful – Isteri

Perbelanjaan Rumah

50.00

600.00

Insurans Kereta & Cukai Jalan

Perbelanjaan Rumah

 

400.00

Penyelenggaraan Kereta

Perbelanjaan Rumah

 

1,000.00

Petrol

Perbelanjaan Rumah

180.00

2,160.00

Ansuran Rumah

Pembayaran Ansuran

1000.00

12000.00

Ansuran Kereta

Pembayaran Ansuran

400.00

4800.00

 

 

 

 

JUMLAH ALIRAN KELUAR

 

3240

42,780.00

 

 

 

 

ALIRAN TUNAI BERSIH

 

 

704.00

 

LEBIHAN BULANAN

58.67

 

Berdasarkan belanjawan yang telah dilakukan oleh individu tersebut, beliau boleh menyimpan hanya RM58.67 sebulan. Di dalam contoh di atas, sesuatu pendapatan dan perbelanjaan itu boleh di asing menurut kategori seperti pendapatan aktif, pendapatan pasif, perbelanjaan isi-rumah, pembayaran ansuran dan lain-lain lagi. Malahan pembayaran ansuran itu boleh kita pecahkan lagi kepada jenis pembayaran ansuran untuk aset dan liabiliti. Dengan mengkategorikan pendapatan dan perbelanjaan ini kita akan dapat mengetahui komposisi pecahan pendapatan dan perbelanjaan tersebut.

Di sini jika beliau ingin meningkatkan simpanan, beliau perlu samada meningkatkan pendapatan atau mengurangkan perbelanjaan. Jika beliau ingin mengurangkan perbelanjaan, beliau perlu menyemak menurut keperluan dan keutamaan sesuatu perbelanjaan itu. Apakah perbelanjaan yang boleh dikurangkan?

Walaupun ini adalah contoh belanjawan yang biasa kita gunakan, saya ingin mencadangkan suatu belanjawan yang lebih baik untuk kita mengurus kewangan kita. Belanjawan yang dicadangkan adalah berbeza di mana kita akan menolak simpanan dahulu dan selepas itu kita akan menolak perbelanjaan.  Formulanya ialah pendapatan tolak simpanan tolak perbelanjaan. Jika masih ada lebihan selepas perbelanjaan kita boleh tambah simpanan dan jika terdapat kurangan kita perlu mengurangkan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan simpanan kita.

 

Di dalam siri ke 11 saya akan memberikan rasionalisasi kenapa kita perlu menggunakan kaedah yang dicadangkan untuk memastikan kita mempunyai simpanan yang konsisten dan memberikan contoh belanjawan yang sedikit berbeza dengan yang biasa kita lakukan.

 

BERSAMBUNG SIRI 11

 

 

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI

Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai 71800

Negeri Sembilan.

Whassap: 011-14785422

PERANCANGAN KEWANGAN NAQLI DAN AQLI SIRI 9

Di dalam siri 8, saya akan mengupas tentang kepentingan untuk kita menyediakan belanjawan dan saya pernah berbual seorang pengembara wanita yang berasal dari Argentina, Lucila, berumur dalam lingkungan 27 tahun, di mana beliau telah mengembara ke beberapa negara selama 4 tahun. Di dalam benak kepala ini meronta-ronta ingin bertanya kepadanya tentang bagaimana beliau membuat perancangan dan mengurus kewangan?

Saya memulakan perbualan dengan bertanya tentang pengalaman beliau mengembara di beberapa negara dan mendapati bahawa beliau merupakan anak sulung kepada keluarganya dan pernah belajar di University of Buenes Aires (UBA) di dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia. Beliau menggambarkan bahawa pendidikan dan kesihatan di Argentina di berikan secara percuma.

Walaubagaimanapun, kos hidup di Buenes Aires adalah tinggi di mana beliau yang datang dari keluarga yang berpendapatan menengah rendah dan tinggal di luar bandar terpaksa bekerja sepenuh masa untuk menampung kos sewa dan makanan semasa belajar. Maksudnya belajar sepenuh masa dan bekerja sepenuh masa, ini adalah amat sukar untuk saya bayangkan. Secara asasnya kos sewa yang perlu beliau lunaskan untuk sebuah apartmen yang kecil adalah bersamaan RM1,800. Pendapatan dari kerja pertamanya hanya RM1,950 sebulan. 

 

Beliau juga mendapatkan pendapatan tambahan kedua dengan kerja fotografi dan ketiga di kelab malam untuk menampung kos pengembaraan beliau. Saya bertanya apa sebab beliau meninggalkan kerja beliau di Argentina dan menyandang beg galas mengembara di perantauan. Pertama, saya percaya beliau amat sibuk mengurus masa beliau semasa di Argentina dan kedua beliau mendapati hidupnya sebagai pengembara memberikannya pengalaman yang banyak walaupun tanpa kerja tetap.  Malah dalam masa 4 tahun beliau telah dapat menguasai bahasa Inggeris dengan amat baik sekali.

 

Beliau ada menggambarkan kepada saya tentang ekonomi negaranya pada suatu ketika pada awal tahun 2000 mempunyai kadaran tukaran 1:1 dengan US Dollar. Walaubagaimanapun, kadar tukaran USD adalah lebih kurang 17 Peso untuk 1 USD. Justeru nilai wang Peso menyusut sejak dari tahun 2000 sehingga mewujudkan Blue Dollar iaitu suatu pasaran gelap untuk menukarkan Peso dengan Dollar. Malahan beliau ada menceritakan bahawa seramai 2 juta orang terpaksa di berhenti kerja disebabkan kegawatan ekonomi tetapi saya merasakan beliau mengembara bukan disebabkan keadaan ekonomi semata-mata tetapi berkemungkinan mengikut darah orang muda yang dahagakan pengalaman hidup.

Saya mengambil kesempatan bertanya kepada beliau adakah sistem pendidikan di Argentina ada menitikberatkan tentang subjek pengurusan kewangan di peringkat pendidikan awal, pertengahan dan peringkat universiti. Jelas beliau mengatakan hanya pelajar yang mengambil jurusan kewangan dan berkaitan sahaja yang akan mempelajari tentang kewangan. Secara khususnya, beliau yang telah mempunyai ijazah sumber manusia hanya pernah mengambil subjek ekonomi asas sahaja.

Persoalannya bagaimana beliau mengurus perbelanjaan semasa beliau bermusafir selama 4 tahun? Saya bertanya kepada beliau dan beliau memberikan sedikit tips bagaimana beliau membuat perancangan pengembaraan beliau. Sebelum memulakan pengembaraan beiau membuat sedikit carian tentang kos hotel tempat yang dilawati, kos makanan dan juga kos penerbangan pergi dan balik.

Disamping itu beliau membuat anggaran kos keperluan harian dikalikan jumlah hari yang beliau akan tinggal di suatu tempat. Kos-kos lain seperti kos penjagaan diri juga diambilkira dan juga kos-kos luar jangka kerana kos-kos luar jangka ini selalu memakan jumlah yang agak besar. Di sini kita dapat membayangkan bahawa beliau telah mengira segala perbelanjaan yang akan mendatang apabila beliau mengembara. 

 

Di sini, walaupun beliau seorang pengembara tetapi beliau juga membuat belanjawan iaitu perbelanjaan perlu ditampungi oleh pendapatan beliau semasa beliau bekerja di Argentina dan adakalanya beliau memperolehi pekerjaan di sesebuah negara yang membenarkan beliau bekerja. Justeru itu secara asasnya sesuatu belanjawan itu ialah pendapatan yang bakal kita perolehi dan simpanan yang sedia ada berbanding dengan perbelanjaan yang bakal kita hadapi.

Mungkin ada dikalangan pelajar dari universiti di Malaysia yang ingin menimba pengalaman seperti Lucila dengan mengambil cuti berjeda selama 6 bulan atau setahun samada untuk menimba pengalaman dengan aktiviti pengembaraan, aktiviti kesukarelawanan dan sebagainya. Ini adalah kerana sesetengah ilmu kehidupan itu perlu untuk kita kecapi sendiri dengan pengalaman sebenar dan tidak dapat hanya dengan mengikuti kuliah dan bahan bacaan semata.

Berbalik kepada topik kita, secara asasnya segala pendapatan tolak segala perbelanjaan. Ianya hampir sama dengan penyata untung rugi perniagaan dan juga hampir sama dengan belanjawan pendapatan negara cuma untuk individu kita perlu mengambilkira semua pendapatan kita dan semua perbelanjaan kita termasuklah perbelanjaan ahli tanggungan kita. Hampir kesemua kita mengetahui tentang hal ini secara teorinya Cuma apabila hendak diaplikasi kedalam kehidupan seharian ianya tidak semudah yang kita sangka.

Walaubagaimanapun, belanjawan ini hanya perlu pada permulaan sahaja sehingga corak perbelanjaan kita telah menjadi tabiat. Yang paling mudah dilakukan ialah setiap kali kita berbelanja, kita perlu menyoal diri kita samada kita benar-benar memerlukan barangan atau perkhidmatan tersebut dan samada kita membeli aset atau liabiliti dan impaknya kepada kedudukan kewangan kita. Pada siri akan datang saya akan mengupas bentuk belanjawan yang sangat mudah untuk kita fahami.


 

BERSAMBUNG SIRI 10

 

 

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI

Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai 71800

Negeri Sembilan.

Whassap: 011-14785422

PERANCANGAN KEWANGAN NAQLI DAN AQLI SIRI 8

Di dalam siri 7, saya ada memetik ayat al Quran yang menceritakan tentang manusia berkehendakkan kepada nafsu kepada apa yang kita sukai.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga) (Surah Al-Imran: 14)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah telah menciptakan manusia berkehendakkan kepada wanita, anak-anak dan harta yang menjadi perhiasan dunia yang di dorongi oleh nafsu.  Nafsu manusia boleh menjadi kebaikan atau menjadi keburukan jika ianya di runtuni oleh syariat agama. Jika kita tidak mempunyai nafsu maka kita tidak boleh untuk berkembang di dalam ekonomi, pembangunan dan tamadun secara amnya. 

 

Ketiadaan nafsu, perumpamaannya manusia seperti malaikat yang tidak bernafsu.  Malaikat hanya akan menurut perintah Allah sahaja tanpa ada nafsu untuk makan dan minum sebagai contohnya. Jika Allah memerintah malaikat hanya untuk memujinya atau bersujud kepadaNya, maka malaikat akan hanya akan bertasbih memuji Allah dan bersujud selamanya kepada Allah. 

 

Penciptaan manusia, yang mempunyai nafsu sesuai dengan tugasnya sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan adanya nafsu, manusia akan membangunkan bandar-bandar, meningkatkan ekonomi, kecintaan untuk mempunyai keluarga dan sebagainya. Secara khususnya ada enam perkara yang disebutkan di dalam ayat tersebut yang menjadi kesukaan manusia iaitu wanita, anak-anak, emas dan perak, kuda yang terlatih atau kenderaan yang baik, binatang ternakan dan tanam-tanaman. Jika di lihat daripada keenam-enam perkara tersebut di dalam bidang ekonomi, ianya boleh memberikan ruang lingkup yang luas kepada kita. 

 

Berbalik kita dalam mengejar cita-cita kita seperti ayat di atas, pengurusan kewangan adalah salah satu aspek penting yang perlu di tekankan. Saya ada memberikan contoh senario pendapatan dan perbelanjaan bagi 2 orang pekerja di dalam siri yang lepas iaitu A dan B dan kita dapati walaupun A mempunyai pendapatan bulanan RM10,000 sebulan dan B hanya RM4,000 sebulan, si B lebih pandai mengurus kewangannya.

 

Malahan si B dapat menyimpan sebanyak RM400 sebulan iaitu 10% dari pendapatannya. Apakah teknik-teknik yang membantu B untuk menabung. Apakah dengan mengetahui teknik-teknik tersebut kita sudah tentu akan dapat menabung?  Bagaimana kita nak memastikan bahawa ianya menjadi suatu tabiat? Persoalan-persoalan ini saya tinggalkan untuk anda cuba cari jawapannya. Pada siri ini saya ingin berbicara tentang sesuatu yang signifikan tetapi di pandang mudah oleh kebanyakan orang iaitu belanjawan.

 

Setiap orang harus mewujudkan belanjawan. Walaupun anda tidak arif tentang kewangan dan tidak tahu bagaimana hendak menguruskan belanjawan, banyak kursus dan laman web yang menawarkan maklumat dan template belanjawan kewangan secara percuma bagi membantu anda menyediakan belanjawan. Secara asasnya ianya adalah anggaran jumlah pendapatan dan perbelanjaan kita setiap bulan. Setelah di tolak perbelanjaan dari pendapatan kita akan dapati bahawa samada kita mempunyai lebihan (surplus) atau kurangan (defisit).

 

Dengan membuat belanjawan kita akan mengetahui di mana kita menyalurkan hasil pendapatan kita dalam sebulan atau setahun. Berapa banyak yang kita salurkan untuk pembayaran ansuran rumah kediaman, berapa peratus dari pendapatan kita pergi untuk kenderaan, berapa RM untuk perbelanjaan keluarga, berapa yang kita keluarkan untuk perlindungan takaful kesihatan dan berapa yang kita belanjakan untuk hiburan dan berapa banyak yang kita infaqkan dan sedekahkan dan berapa banyak yang kita simpan untuk masa hadapan?

 

Ini adalah suatu cara yang terbaik untuk menguatkan lagi niat kita menabung. Dalam kebanyakan kes, orang ramai tidak tahu di mana wang mereka benar-benar disalurkan. Malah apabila mereka melihat perbelanjaan bulanan atau tahunan mereka melebihi had atau melebihi pendapatan mereka, mereka bukan sahaja terkejut, malah mereka juga perlu memutuskan untuk mengubah tabiat perbelanjaan mereka.

 

Berbalik kepada contoh kita antara A dan B yang saya berikan pada siri yang lepas.  A mempunyai pendapatan RM10,000 tetapi mempunyai perbelanjaan yang lebih tinggi daripada pendapatannya. Setiap bulan beliau akan mengalami defisit dan defisit itu akan bertambah jumlahnya dan setiap defisit tersebut perlu ditampung oleh seseorang, bank atau agensi yang memberikan kredit. Manakala B pula dapat menyimpan RM400 sebulan dan jumlah surplus ini akan menjadi simpanan sebanyak RM4,800 setahun. Apa yang menyebabkan A tidak dapat mengawal perbelanjaannya agar tidak melebihi pendapatannya.  Adakah dengan mengadakan belanjawan, A akan dapat mengawal perbelanjaannya?

 

Di dalam merancang kewangan, kita perlu melihat sekurang-kurangnya perancangan aliran tunai kepada perancangan lain seperti nilai bersih (networth), pengurusan risiko, cukai, zakat, pendidikan dan haji, persaraan dan perancangan estet. Kesemua ini merangkumi kepada 5 dimensi di dalam pengurusan harta iaitu penciptaan kekayaan (wealth creation), pengumpulan harta (wealth accumulation), perlindungan harta (wealth protection), pengagihan harta (wealth distribution) dan penyucian harta (wealth purification).

Walaubagaimanapun, belanjawan ini hanya perlu pada permulaan sahaja sehingga corak perbelanjaan kita telah menjadi tabiat. Yang paling mudah dilakukan ialah setiap kali kita berbelanja, kita perlu menyoal diri kita samada kita benar-benar memerlukan barangan atau perkhidmatan tersebut dan samada kita membeli aset atau liabiliti dan impaknya kepada kedudukan kewangan kita. Pada siri akan datang saya akan mengupas bentuk belanjawan yang sangat mudah untuk kita fahami. Saya juga ingin menceritakan bagaimana seorang pengembara wanita yang berasal dari Argentina, berusia 27 tahun telah mengembara selama 4 tahun ke negara-negara Asia, New Zealand dan Australia. Bagaimana beliau membuat perancangan?

BERSAMBUNG SIRI 9

 

 

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI

Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai 71800

Negeri Sembilan.

Whassap: 011-14785422

 

PERANCANGAN KEWANGAN NAQLI DAN AQLI SIRI 7

Di dalam siri 6, saya ada mengupas tentang samada pendapatan yang tinggi akan menjamin kita untuk bebas dari kemelut kewangan. Saya ada memberikan 2 contoh senario pendapatan dan perbelanjaan bagi 2 orang pekerja iaitu si A dan B dan kita dapati walaupun A mempunyai pendapatan bulanan RM10,000 sebulan dan B hanya RM4,000 sebulan, si B lebih pandai mengurus kewangannya. Malahan si B dapat menyimpan sebanyak RM400 sebulan iaitu 10% dari pendapatannya.

Justeru itu, kita bersetuju, bahawa pendapatan yang tinggi tanpa pengurusan kewangan yang baik tidak menjamin kita bebas kewangan dan yang penting ialah berapa yang kita dapat simpan dari pendapatan kita tersebut. Persoalannya bagaimana kita boleh secara konsisten membuat tabungan tersebut. Bak kata pepatah "sikit-sikit, lama-lama jadi bukit".

Saya ingin memberikan sedikit teori tentang pengurusan harta agar kita memahami gambaran secara keseluruhan tentang isu perancangan kewangan. Pada asasnya ada 5 dimensi di dalam pengurusan harta iaitu penciptaan kekayaan (wealth creation), pengumpulan harta (wealth accumulation), perlindungan harta (wealth protection), pengagihan harta (wealth distribution) dan penyucian harta (wealth purification). Ya, kita perlu memahami semua itu dan saya akan kupas di dalam siri-siri yang seterusnya.

Secara mudahnya, 1) bagaimana kita nak jana pendapatan melalui pekerjaan atau perniagaan, 2) menabung dan melabur, 3) perlindungan guna takaful atau insurans, 4) agih harta melalui zakat, sedekah, hibah, wasiat, dan faraid dan menyucikan harta-harta yang mungkin terlibat dengan elemen yang tidak patuh syariah seperti riba. Semua ini perlu dirancang oleh setiap individu baik yang muda atau yang tua. Jika kita rasa kita masih muda dan banyak masa lagi, sekaranglah sepatutnya kerana banyak yang boleh kita capai jika kita bermula awal. Jika kita kata sudah terlambat kerana kita mahu pencen, sekaranglah juga masanya, kerana kita perlu menghadapi kemungkinan 20 tahun lagi selepas kita bersara kelak.

Ramai yang mengetahui kewujudan masalah ini tetapi hampir majoriti hampir tidak boleh mengatasi masalah ini. Ada beberapa faktor yang menyebabkan kita tidak mengurus kewangan kita. Pertama, walaupun kita mempunyai niat untuk menjadi bebas kewangan tetapi kita seringkali mendengar daripada persekitaran kita bahawa kita tidak akan dapat mampu mengurus kewangan kita disebabkan pelbagai seperti gaji anda terlalu kecil, harga barangan terlalu tinggi, kos rumah terlalu tinggi dan sebagainya. Ini membuatkan kita samada terus tidak mahu menjadi bebas kewangan dan mengikut arus atau setengahnya berjaya keluar dari kemelut kewangan berterusan dengan mengambil langkah positif mengubah minda kita.
Kedua, pengurusan kewangan bermusim. Ada yang hanya mengurus kewangan dengan secara tidak konsisten di mana mungkin pada awal tahunnya mempunyai iltizam yang kuat untuk mengurus kewangan dengan perancangan tahunan dan bulanan. Apabila tiba pada bulan pertama atau kedua apabila apa yang dirancang tidak dapat di tepati, kita mula berasa putus asa dan mula tidak mengendahkan perancangan kewangan kita. Tinggallah iltizam itu hanya iltizam sehingga kita mula beriltizam pada awal tahun berikutnya.
Ketiga, kita sebagai perancang kewangan sekali seumur hidup. Ini adalah golongan yang hanya sekali sahaja membuat perancangan kewangan di dalam hidupnya. Ini adalah kerana apabila beliau membuat perancangan kewangan untuk seumur hidup yang mana ianya tidak praktikal kerana kita sentiasa perlu mengadaptasi kepada perubahan semasa. Pendapatan kita pada 10 tahun lepas mungkin berbeza dengan pendapatan semasa. Lazimnya pendapatan kita meningkat dari masa ke semasa tetapi ada juga keadaan pendapatan seseorang itu menurun atau tidak berpendapatan langsung.

Keempat, golongan ini mempunyai masalah teknikal kerana tidak memahami atau mengetahui teknik bagaimana untuk mengendali kewangan sendiri dan keluarga. Masalah ini boleh di pelajari dengan menghadiri kursus-kursus pengurusan kewangan atau dipelajari dari membaca pelbagai buku tentang kewangan dan sebagainya. Walaubagaimanapun, kebanyakan yang melalui proses ini hanya bertahan semasa motivasi mereka adalah tinggi semasa dan selepas mendapat stimulus. Bagaimanapun, semangat itu semakin hari semakin hilang dan akhirnya kita berbalik ke peringkat asal sehinggalah kita mendapat stimulus yang berikutnya.

Masalah-masalah yang saya utarakan di atas dapat diselesaikan. Apa yang perlu di buat ialah kita dapat memahami minda separa sedar dan minda sedar kita. Minda sedar dan separuh sedar ini banyak mempengaruhi bagaimana kita dapat meneruskan perancangan kewangan kita. Sebagai contohnya kita seringkali mengalami masalah untuk menabung secara konsisten pada setiap bulan. Bagaimana minda sedar dan separa sedar mempengaruhi tabiat kita untuk menabung?

Saya ingin membuat analogi mudah tentang minda separa sedar dan minda sedar. Saya yakin kebanyakan dari pembaca tahu untuk menunggang basikal. Cuba ingati kembali pada waktu pertama kali kita menunggang basikal. Minda kita akan berada dalam keadaan minda sedar. Kita akan cuba memerhatikan jalan, memikirkan untuk mengimbangi basikal agar tidak terjatuh, memastikan pedal basikal sentiasa berputar dengan kelajuan yang sesuai dan sebagainya.

Itu adalah keadaannya bagi kebanyakan orang yang mula-mula mempelajari menaiki basikal. Cuba tanya kembali mereka setelah mereka biasa menunggang basikal adakah mereka perlu menggunakan minda mereka seperti mereka mula-mula menaiki basikal dahulu? Sudah tentu kebanyakan dari kita mengatakan, tak perlu fikir terus naik sahaja dan kayuh. Mengapa in terjadi? Apa yang menyebabkan minda kita tidak perlu berada di dalam sedar untuk melakukannya? Malah kita melakukannya di dalam minda separuh sedar. Ini termasuklah semasa kita memandu kereta, makan dan lain-lain. Kita tidak perlu memaksa minda kita untuk berfikir. Cuma janganlah kita sampai tidak sedar di mana keadaan ini adalah semasa kita tidak dapat membuat perhitungan langsung seperti orang yang dalam keadaan mabuk.

Berbalik kepada perancangan kewangan, kita perlu menjadikan subjek ini menjadi perkara separa sedar yang mana kita jadikan ianya sebagai tabiat. Ini akan memudahkan proses seperti menabung akan menjadi suatu proses yang mudah tanpa kita perlu memikirkannya. Ini akan memudahkan kita untuk menabung secara konsisten dengan mudah. Ada yang mengatakan kita perlu melakukannya sekerap mungkin untuk menjadikannya tabiat. Ada yang mengatakan 21 kali berterusan ada yang mengatakan 30 kali. Apa-apa pun ianya perlu dilakukan berterusan agar ianya menjadi suatu tabiat.

Pada siri akan datang saya akan mengupas tentang apa itu belanjawan peribadi dan yang perlu kita lakukan untuk membantu kita untuk mencapai cita-cita kita dalam kehidupan kita kerana berbalik kepada surah AL Imran ayat 14, sememangnya kita manusia diciptakan oleh Allah SWT mempunyai nafsu kepada apa yang kita sukai.
BERSAMBUNG SIRI 8

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI
Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)
Universiti Sains Islam Malaysia
Bandar Baru Nilai 71800
Negeri Sembilan.
Whassap: 011-14785422
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Perancangan Kewangan Naqli & Aqli Siri 6

Di dalam siri 5, saya ada menceritakan tentang perbahasan rakan-rakan saya di dalam kumpulan Whatsapp alumni sekolah saya tentang samada kita perlu menyediakan harta untuk anak-anak. Saya ingin mengulas bahawa kita adalah digalakkan untuk menyediakan harta untuk ahli keluarga kita untuk mereka dapat meneruskan hidup tanpa meminta-minta setelah kita pergi meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.

 

Perancangan tentang ini boleh di buat semasa hidup berdasarkan kemampuan kita dan adalah amat penting untuk kita memastikan anak-anak kita mendapat pengetahuan tentang ilmu dunia dan akhirat di samping kita juga menyediakan mereka dengan sedikit harta menurut kemampuan kita. Di dalam siri yang lepas juga saya akhiri dengan persoalan tentang adakah dengan mempunyai pendapatan yang tinggi akan menjamin kita bebas dari kemelut kewangan.

Berbalik kepada isu utama kita iaitu menabung yang pernah saya utarakan di dalam siri-siri yang lepas, ramai yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju. Di kalangan yang tidak bersetuju menempelak isu keperluan menabung kerana tiada apa yang boleh simpan kerana kos perbelanjaan tidak cukup dengan gaji yang diterima. Katanya, “apa yang nak ditabung lagi kalau gaji pun dah tidak cukup”.

Sudah menjadi lumrah bagi saya untuk menerima pelbagai kritikan kerana tidak semua pendapat yang diutarakan oleh saya boleh diterima oleh semua orang. Persoalannya adakah dengan mempunyai pendapatan yang tinggi, sudah semestinya kita mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik? Adakah dengan mempunyai pendapatan yang tinggi kita sudah tentu dapat menabung?

Kalau sudah berpendapatan tinggi tetapi masih tidak menabung? Apa masalah yang akan timbul jika kita belanjakan semua yang kita dapat? Jika kita berbelanja sebegini maka kita akan menjadi kebanyakan orang yang akan sentiasa berada di dalam jerat beban kewangan yang tidak putus-putus menghambat diri kita sejak muda sehinggalah kita tua. Untuk menjelaskan dengan secara yang mudah, mari kita kaji kes ini.

A mempunyai pendapatan sebanyak RM10,000 sebulan dan B mempunyai pendapatan RM4,000 sebulan. Masing-masing sudah berkeluarga dan dikurniakan dua orang anak. A menjawat jawatan yang tinggi di sebuah syarikat korporat sementara itu B adalah seorang eksekutif di sebuah syarikat swasta. Jika anda diberi pilihan, siapakah yang mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik? A atau B?

Adakah A yang berpendapatan tinggi sudah semesti mempunyai kedudukan kewangan yang lebih baik atau B yang berpendapatan yang lebih rendah adalah lebih baik. Jawapannya bergantung kepada bagaimana mereka mengurus kewangan mereka. Tidak semestinya jika kita mempunyai pendapatan yang tinggi akan mempunyai kedudukan yang lebih baik dari rakan kita yang bergaji lebih rendahJ

Jika A berbelanja seperti tiada hari esok dan tidak menyimpan sesen pun dari pendapatannya kerana komitmen-komitmen bulanannya tinggi berbanding kemampuannya. Sebagai contohnya, ansuran kereta mewahnya memerlukan sejumlah RM3,000 sebulan termasuk kos penyelenggaraannya dan minyak. Ansuran bulanan untuk rumah yang mempunyai 4 bilik yang dibelinya pada harga RM sejuta ringgit memaksa beliau mengeluarkan ansuran sebanyak RM4,750 sebulan. Itu belum masuk lagi kos perbelanjaan dapur dan persekolahan anak-anak. Akhirnya, setiap bulan kos perbelanjaan A melebihi pendapatannya yang berjumlah RM10,000 itu.

Manakala B pula amat berhemat di dalam perbelanjaannya. Beliau masih juga membeli sebuah kereta dan membeli sebuah rumah untuk keluarganya berteduh. Namun ansuran keretanya tidak terlalu tinggi kerana beliau membeli sebuah kereta yang mampu milik berdasarkan pendapatan dan keperluannya. Ansuran keretanya hanyalah RM450 sebulan iaitu dalam anggaran lebih kurang 10 peratus dari pendapatan kasarnya.

Manakala ansuran rumah apartmen 2 biliknya hanyalah RM800 sebulan. Ini adalah kerana menurutnya, apartmen 2 bilik sudah memadai baginya sekeluarga untuk berteduh. Anak-anaknya berkongsi bilik dan beliau dan isteri berkongsi satu bilik. Beliau bertekad untuk menyimpan sepuluh peratus dari pendapatannya iaitu sebanyak RM400 setiap bulan. Selebihnya digunakan untuk perbelanjaan keluarga dan perbelanjaan dirinya sendiri.

Dari pandangan mata kasar, sudah tentu si A lebih bergaya dengan rumah besar, kereta besar dan kelihatan amat mewah. Tapi jika diteliti, walaupun A mempunyai pendapatan yang dua kali lebih besar dari B, namun A hanya dikelilingi hutang keliling pinggang dan tidak mempunyai sedikit tabungan malahan untuk kegunaan pada waktu kecemasan. Ternyata gaya, mutu dan keunggulan hanya menenggelam A di dalam kemewahan yang menjeratnya jika beliau tidak mengubah tabiatnya.

Jika ianya berterusan selama setahun maka A tidak menabung 1 sen pun tetapi B telah menabung sebanyak RM4800 setahun. Justeru itu, jumlah pendapatan yang besar tidak penting tetapi jumlah tabungan yang dapat anda simpan dari pendapatan anda adalah lebih penting. Bagaimana kita boleh melakukan tabungan. Ianya adalah suatu kelakuan atau tabiat yang perlu dibentuk.

Semasa saya berkunjung di Johor Bahru tempohari, saya ada berbual dengan seorang lelaki India yang minum semeja dengan saya di sebuah restoran 24 jam berhampiran Hospital Sultan Ismail tentang kos hidup di bandar. Beliau telah melepasi separuh abad dan bekerja sebagai pekerja kilang aluminium setelah estet yang beliau bekerja telah dijual. Beliau bercerita tentang bagaimana kawasan tempat kami sedang minum itu adalah bekas kawasan estet getah. Kami berbual di samping itu saya bertanya tentang bagaimana beliau menghadapi kos kehidupan menampung sebuah keluarga dan berjaya membeli sebuah rumah hasil dari titik peluhnya.

Sejujurnya saya kagum dengan kegigihannya dan kebijaksanaannya mengurus kewangan keluarga. Beliau akan sentiasa cuba untuk menabung di dalam RM100 setiap bulan walaupun kos perbelanjaan keluarga agak mahal. Persoalannya adakah generasi sekarang dapat meneruskan kehidupan seperti pakcik ini yang bermula dari pekerja estet dengan pendapatan yang amat rendah tetapi bahagia dan berjaya menyara kehidupan keluarga menurut acuannya tersendiri. Bagaimana beliau belajar tentang pengurusan kewangan sedangkan beliau tidak pernah belajar tentang subjek ini secara formal di mana-mana. Bagaimana beliau boleh menabung secara konsisten sedangkan pendapatannya adalah tidaklah tinggi.

Seorang penasihat kewangan dan penulis buku yang berpengalaman dari Kanada, Bach telah menetapkan 10% simpanan untuk menjadikan seseorang itu menjadi jutawan automatik. Pada siri yang ke 7 akan datang saya akan memberikan kaedah untuk kita berjaya membuat simpanan yang konsisten setiap bulan .

BERSAMBUNG SIRI 7

DR. NURADLI RIDZWAN SHAH BIN MOHD DALI

Pengarah, Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam (IFWMI)

Universiti Sains Islam Malaysia

Bandar Baru Nilai 71800

Negeri Sembilan.

This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

 

Islamic Finance and Wealth Management Institute (IFWMI)
Universiti Sains Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, MALAYSIA
Tel: +606-798 6442 / 6307  Faks: +606-798 6441